Thursday, November 6, 2008

BUDAYA VS AGAMA


Baru baru ni, baru saja 3-4 hari lepas, telah berlangsung program The Melting Pot dan terdapat satu-dua persoalan dasar yang dapat kita halusi sepanjang program ini yang perlu dibicarakan dengan jujur lagi adil di laman blog ini.
Ia ialah mengenai isu AQIDAH yang timbul di penghujung program ini. Walaupun kebanyakan orang lebih cenderung untuk memandang sebelah mata ataupun berasa tenang dan terbuka dalam hal ini, tapi isu ini sememangnya serius dan perlu untuk kita teliti semula.
Isu ini timbul pada slot Cultural Perfomance bila mana beberapa kumpulan telah membuat persembahan kebudayaan. Kebanyakan dari kita menyedari bahawa bila mana diceritakan tentang kebudayaan kaum, maka kebudayaan ini tidak akan lari jauh dari aspek keagamaan kaum itu sendiri. Maka terdapatlah beberapa persembahan yang mempersembahkan kebudayaan kaum tertentu, telah tersilap catur dalam hal ini. Mereka gagal memisahkan unsur budaya dengan unsur-unsur berhala, dewa-dewi, animise, dan lain-lain unsur jahiliyah.
Oleh sebab itu apabila kita melihat apabila sebuah kumpulan ingin mempersembahkan tarian Sumazau , maka mereka melakonkan babak di mana kaum mereka ditimpa bencana kekurangan beras lalu upacara tari menari pon dilakukan untuk memohon bantuan daripada tuhan mengikut kepercayaan agama animisme mereka. Maka sesungguhnya perbuatan ini tergelincir jauh dari landasan aqidah seorang muslim.
Sabda Ar-Rasul : “barangsiapa yang menyerupai/meniru perbuatan sesuatu kaum itu, maka sesungguhnya dia adalah tergolong dalam kalangan mereka itu”
Tidak dilupakan juga, umum mengetahui lagu Ulik Mayang itu secara adatnya dinyanyikan untuk menyeru semangat-semangat (jin-jin) agar datang membantu apabila timbulnya sesuatu masalah atau bencana. Kumpulan yang mempersembahkan mengenai nyanyian ini turut melakonkan adegan di mana apabila tiba-tiba semua penari penari pengsan seolah-olah dirasuk hantu maka lagu ini pun dinyanyikan dan bomoh-bomoh datang untuk merawat penari penari ini.
Dalam kedua –dua tarian ini, hanya satu isu besar yang ingin ditimbulkan iaitu tentang tidak lurusnya aqidah (walaupun cuma berlakon). Insan apabila ditimpa kesusahan, maka tempat yang patut dia curahkan segala masalah dan hajat tidak lain dan tidak bukan hanyalah ALLAH azzawajalla.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.

Eloklah jika kita diingatkan kembali bahawa aqidah seseorang itu tidak hanya terbatal melalui kepercayaan yang salah, namun perbuatan yang salah turut akan menarik seseorang itu keluar dari sempadan syirik walaupun perbuatan itu tidak diiringi dengan kepercayaan. Ramai yang akan berhujah, mereka melakukannya tanpa niat untuk menyekutukan ALLAH, namun aqidah muslim yang sejahtera akan menolak segala unsur-unsur yang mempersekutukan tuhannya. Kita sedar perbuatan ini berlanggar dengan aqidah muslim, namun masih ingin meneruskannya dengan alasan bahawa ianya dilakonkan hanya untuk melihatkan keindahan seni dan budaya masyarakat. Walhal kita sedar lagi mengerti ianya sangat bertentangan dengan apa yang kita imani. Perbuatan melakonkan semula aksi-aksi ini mengakibatkan kita seolah olah mengiktiraf kesesatan agama-agama kaum ini.
Firman ALLAH azzawajalla:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ.

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

1 comment:

Hidayatullah said...

nsb bek group ak wat presentation..xde presentor pown..ha3